Saturday, August 1, 2009

ISA - Yang Zalim dan Yang Jahil

(in Bahasa)

Sekiranya masih ujud masa itu, Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA akan berusia 50 tahun tepat 1 Ogos tahun depan.

Semua orang faham apa itu ISA. Ia merupakan akta cedokan British yang membolehkan polis menahan seseorang yang didapati mampu menggugat keselamatan negara, dalam tempoh tidak lebih 60 hari. Sekiranya didapati perlu, Menteri Dalam Negeri boleh menahan lanjut orang itu selama 2 tahun di kem tahanan khas, dan tempoh itu boleh dilanjutkan tanpa had. Mengikut statistik, terdapat 10 orang yang masih ditahan di Kem Tahanan (Kemta) Kamunting Perak. Ada yang sudah berada di Kemta hampir 7 tahun!



Hari ini selepas Zohor, ribuan 'meraikan' harijadi ISA dengan berarak di jalanraya KL untuk menyuarakan bantahan terhadap akta tersebut. Polis sejak malam tadi mengadakan sekatan jalanraya masuk ke KL dibantu FRU yang berada di beberapa lokasi demonstrasi sejak awal pagi. Ada saksi yang mendakwa melihat beberapa pemimpin demonstrasi dipukul. Ratusan ditangkap.
Rakyat Malaysia masih berbelah bagi samada ISA patut diteruskan atau ditamatkan. Bukan sebab jahil tetapi sebab keliru di antara niat dan pelaksanaan.
Adalah ISA itu satu undang-undang yang zalim mengikut perspektif 165? Adakah ianya perlu? how165areyou ingin mengupas persoalan ini secara JUJUR.

Prinsip atau rukun iman yang enam antaranya adalah beriman kepada KitabNya. Dalam Al-Qoran, Allah SWT telah menggariskan pelbagai peraturan feqah, muamalat dan syariat yang menjadi hukum Islam. Kesemuanya bertujuan membimbing orang yang beriman kaedah menjalin hubungan dengan Allah SWT dan juga sesama manusia.
Satu atribut hukum Islam adalah konsep keadilan sejagat. "Maka berlaku adillah kamu. Itu lebih dekat dengan takwa." (al-Qoran)

Pernah diriwayatkan dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW didatangi oleh seorang wanita yang mengaku berzina. Bagaimanapun Rasulullah SAW menangguhkan hukuman hudud terhadapnya sehinggalah wanita itu selesai menyusukan bayi yang lahir hasil hubungan zina tersebut.

Untuk hubungan sesama manusia, kita dibolehkan mengadakan peraturan sendiri. "Kamu lebih mengetahui urusan duniamu". (Hadith Sahih)
Namun, mana-mana peraturan kontemporari ciptaan manusia perlu konsisten dengan Al-Qoran dan Sunnah, walau seberapa sofistikatednya pemerintahan zaman moden. Sekiranya didapati terdapat elemen ketidakadilan, maka peraturan atau undang-undang ciptaan manusia perlu dibuat alignment atau penjajaran, iaiatu diubahsuai atau dimansuhkan terus.

ISA bertujuan menjaga keselamatan negara. Niat menjaga keselamatan negara memang niat yang baik, malah menjadi TANGGUNGJAWAB pemerintah. Setiap amal mesti dimulakan dengan niat; bagaimanapun, niat tidak menghalalkan cara. Seorang ayah yang ingin memberi anak-anaknya makan diharamkan mencuri walaupun tujuan yang murni.

ISA datangnya daripada pemikiran barat, lalu seharusnya dianalisa dengan minda yang kritis dan dengan hati yang tulus. Tidak sepatutnya ada pertimbangan politik dalam menganalisa ISA.
Dalam analisa terhadap ISA, didapati terdapat elemen ADIL dan PRIHATIN yang longgar.

Dari segi prinsip keadilan, ISA didapati boleh disalahguna untuk menindas manusia. Ketidakadilan ISA terdapat dalam aspek kelemahannya mengiktiraf hak asasi manusia. Al-Qoran mengiktiraf hak asasi manusia, antaranya "Tidak ada paksaan dalam ad-deen" dan "Bagi kamu agama kamu, bagi aku agamaku". (Al-Qoran)


ISA menjadi bahaya kerana ia:-
- mampu menjadi alat yang mudah disalahguna untuk menakut-nakutkan.
- mampu menjadi alat memaksakan sesuatu ideologi.
- membawa konotasi sudah dihukum bersalah kerana tiada ruang mempertahankan diri.
- memberi lesen memperlakukan manusia seumpama tiada harga diri, kadangkala seperti binatang.

Sedangkan, manusia tidak kira apa bangsa, agama dan strata perlu diberikan ruang untuk menyuarakan pendapat, menjadi pemimpin masyarakat, berbeza pandangan, berpersatuan, mengundi, beragama dan sebagainya. Selagi ianya dilakukan secara aman dengan tidak pula menindas atau mengambil hak asasi orang lain.

Dari segi pelaksanaan pula, ketidakprihatinan ISA terbit apabila pihak yang diberikan kuasa menangkap tanpa sebab menggunakan peruntukan akta untuk menekan tahanan.

Dalamasa 60 hari pertama ISA,

- tahanan tiada akses kepada peguam dan ahli keluarga.
- Lokasi penahanan dirahsiakan.
- terdapat insiden penyeksaan fizikal dan mental, serta ugutan dalam soalsiasat supaya tahanan membuat pengakuan (mengikut testimoni).

Selepas 60 hari (di Kemta),

- seolah-olah sudah dijatuhi bersalah, tanpa pertuduhan yang jelas melalui proses mahkamah
- tiada kebajikan untuk ahli keluarga
- tempoh 2 tahun hanyalah gimik dan boleh diperbaharui sesuka hati
- terdapat insiden penyeksaan fizikal dan mental seperti di atas

Maka dari sudut prinsip dan pelaksanaannya, ISA sarat dengan atribut negatif iaitu tidak ADIL dan tidak PRIHATIN. Selain itu, penggunaan ISA selama hampir 50 tahun ini ketandusan DISIPLIN atau kaedah tertentu kerana kebanyakan suspek sebenarnya boleh dibawa ke muka pengadilan menggunakan undang-undang lain seperti Kanun Keseksaan, Akta Pencegahan Rasuah dan Akta Imigresen.
Dari sudut spiritual, kita yang masih teragak-agak harus bertanya dengan hati yang ihsan ini, yang sedar Allah SWT melihat tingkah perbuatan kita setiap masa dengan soalan-soalan seperti berikut:-
- Bolehkah seorang mengambil hak orang lain?
- Bolehkah seorang memperlakukan manusia lain seperti haiwan? Sedangkan Islam menyeru kita berbuat ihsan bukan sahaja hablu minnannas tetapi dengan haiwan dan tumbuhan.
- Inginkah kita berada dalam situasi isteri, suami atau anak dilokap selama bertahun-tahun tanpa kita tahu apa tuduhannya?
Maka pandangan saya berlandaskan 165, ISA dan segala kepincangan berkaitan ISA adalah tidak perlu! Lebih-lebih lagi jika terdapat ramai rakyat yang tidak selesa dengannya. Dengan tiadanya akta sedemikian, hasrat Malaysia ingin menjadi negara Islam model - di mana di dalam pentadbirannya aspek keadilan diberi perhatian berat - dapat diteruskan.
Maka, saranan beberapa pihak kepada Majlis Fatwa Kebangsaan agar mengeluarkan fatwa tentang ISA ini adalah satu idea yang baik dan wajar disegerakan.

0 comments:

Post a Comment

Do practice responsibility when commenting. Thank you.